loading...

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh

Biarpun diri berusaha gigih dan berdoa untuk dipercepatkan jodoh andai tidak berhasil, semua itu adalah ketetapan dari Allah SWT dan sebagai umat Islam, kita hendaklah redha dengan ketentuan-Nya dan menerima dengan ikhlas.
Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh
Gambar hiasan.

Namun, kadangkala tanpa disangka jodoh ada di depan mata. Tidak perlu bercinta lama.

Dalam soal pemilihan jodoh sememangnya ada yang mudah dan ada yang sulit. Soal rezeki, hidup, mati mahupun jodoh sukar diramalkan kerana ia menjadi rahsia Allah SWT. Semua itu sudah tertulis takdirnya.

Jauhi 5 Perkara Nescaya Dipermudahkan Jodoh.

1. MENINGGALKAN SOLAT

Manusia diwajibkan untuk beribadah (solat) kepada Allah SWT.

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 21)

Solat merupakan ibadah wajib umat Islam yang tidak boleh ditinggalkan. Dengan meninggalkan ataupun jarang menunaikan solat, ia juga merupakan salah satu penyebab kenapa Allah SWT tidak memakbulkan permintaan hamba-Nya.

Selain meninggalkan solat, mereka yang sering menunda-nunda solat hingga ke akhir waktu itu juga harus mengubah sikap ini.

Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan urusan duniawi sehingga membuatkan manusia lupa ibadah wajib.

Maka tidak hairanlah sekiranya Allah SWT tidak mengutamakan doa-doa yang dipanjatkan orang tersebut termasuk dalam soal jodoh.

2. MELAKUKAN PERBUATAN SYIRIK

Umum sudah mengetahui bahawa perbuatan syirik merupakan perbuatan berdosa besar. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya.

Sebagai contoh, apabila berdepan dengan kelewatan dalam bertemu jodoh, mereka meminta pertolongan daripada bomoh, tukang tilik dan sebagainya.

Malah, ada juga yang mengamalkan sesuatu perkara yang tidak tertulis dalam dalil Al Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Dengan melakukan perkara ini, seseorang itu benar-benar tersesat dari jalan yang lurus.

Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Al-Luqman ayat 13)

Apa yang harus mereka lakukan adalah memperbaiki hubungan dengan Allah lalu memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.

3. DOSA YANG DILAKUKAN KEPADA ORANG TUA

Ibu dan bapa menjadi sebab hadirnya kita ke muka bumi ini. Dengan melakukan dosa terhadap kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya maka Allah SWT akan murka dan menutup segala sumber rezeki.

Sumber rezeki yang dimaksudkan itu juga termasuk dengan ‘jodoh’.

Keredaan ibu bapa adalah sangat penting dan tanpa reda ibu bapa, Allah SWT juga tidak akan membantu hamba-Nya.

4. MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM

Hubungan silaturrahim perlu dipandang sebagai elemen penting dalam usaha membina hubungan dengan Allah.

Ia sama juga seperti restu Allah bergantung kepada restu kedua-dua ibu bapa, namun mengekalkan hubungan silaturrahim sesama manusia juga akan mempermudahkan kita dalam mendapatkan rezeki berupa jodoh.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Oleh itu, sebagai manusia, jangan sesekali cuba memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.

5. MELAKUKAN ZINA

Mereka sering menyalahkan takdir ilahi apabila sering berdepan dengan ujian dan cabaran hidup, walhal mereka tidak sedar dengan setiap tindakan mereka yang berterusan melakukan perbuatan zina.

Zina adalah salah satu perbuatan keji yang dibenci Allah SWT dengan kata lain, melakukan zina akan membuat hubungan manusia dengan Tuhannya menjadi rosak sehingga urusan jodoh pun akan terhalang kerana dosa tersebut.

Sekiranya anda pernah melakukan zina, segeralah bertaubat yang bersungguh-sungguh, memohon ampun atas perbuatan itu.

Dengan izin dan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Allah SWT akan menerima taubat seseorang yang ikhlas yang tidak akan mengulangi kesalahannya.

KESIMPULAN

Dengan mengelakkan daripada terjadinya lima perkara di atas, kita semua disarankan agar sentiasa melakukan perubahan ke arah yang terbaik.

Sekiranya anda tidak mempunyai perkara-perkara di atas tetapi masih juga tidak dipertemukan jodoh, teruskanlah berusaha dan berdoa.

Semoga setiap doa dan permintaan kita dikabulkan oleh Yang Maha Esa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: pesonapengantin


lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments